
INIKATASULTRA.CO – Amerika Syarikat pada Rabu (9 Mac) mengecam tindakan mengebom sebuah hospital kanak-kanak di Ukraine sebagai “kejam”.
Menurut para pegawai, serangan udara Rusia menyebabkan para pesakit tertimbus di bawah runtuhan meskipun terdapat perjanjian gencatan senjata untuk membolehkan penduduk keluar daripada bandar Mariupol yang dikepung.
Serangan itu, yang menurut pihak berkuasa mencederakan wanita yang sedang dalam proses melahirkan bayi dan menyebabkan kanak-kanak terperangkap dalam kemusnahan bangunan, adalah insiden mengerikan dalam pencerobohan yang mencecah 14 hari itu. Serangan itu merupakan yang terbesar terhadap sebuah negara Eropah sejak 1945.
Kemusnahan berlaku meskipun Rusia sudah berikrar untuk menghentikan serangan supaya sekurang-kurangnya sebahagian orang awam yang terperangkap di bandar, di mana ratusan ribu orang berlindung lebih semingu tanpa bekalan air dan tenaga, dapat melarikan diri.
Seorang jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, apabila diminta memberikan komen kepada Reuters, berkata: Pasukan-pasukan Rusia tidak melancarkan serangan ke atas orang awam.”
Rusia menyifatkan serangan mendadaknya itu sebagai “operasi khas” untuk melucutkan senjata negara jirannya dan mengugurkan para pemimpin yang disifatkan sebagai “neoNazi”.
Kementerian Ehwal Luar Ukraine memuat naik rakaman video yang menurutnya merupakan bahagian-bahagian lopong, yang sepatutnya merupakan tingkap-tingkap pada bangunan hospital tiga tingkat itu. Timbunan-timbunan runtuhan berselerakan di tempat kejadian.
“Mengerikan melihat tahap kekejaman pasukan tentera yang melancarkan serangan terhadap orang awam di sebuah negara berdaulat,” kata jurucakap Rumah Putih, Jen Psaki.
Badan Hak Asasi Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan misi pemantauannya sedang mengesahkan jumlah mangsa.
“Insiden itu menambah kebimbangan mendalam kami tentang penggunaan senjata secara sembarangan di kawasan-kawasan berpenduduk dan orang awam terperangkap di beberapa daerah yang aktif dikepung,” kata seorang jurucakap, Liz Throssell.
Gabenor rantau Donetsk berkata, 17 orang cedera dalam insiden tersebut. Majlis bandar tersebut pula menyatakan hospital itu diserang beberapa kali menerusi serangan udara, menyebabkan kemusnahan “besar”.
Ukraine menuduh Rusia melanggar gencatan senjata di sekitar pelabuhan selatan.
“Tindakan melancarkan serangan bertubi-tubi berlarutan,” tegas Menteri Ehwal Luar, Dmyto Kuleba menerusi Twitter.
Syarikat gambar satelit, Maxar, menyatakan gambar-gambar awal menunjukkan kemusnahan terhadap rumah-rumah, apartmen, kedai-kedai barangan runcit dan pusat-pusat beli-belah di Mariupol.
Kementerian Pertahanan Rusia bagaimanapun menyalahkan Ukraine kerana gagal memindahkan penduduk.
Antara lebih dua juta pelarian dar Ukraine, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyatakan pada Rabu, bahawa lebih sejuta kanak-kanak sudah melarikan diri daripada negara itu sejak pencerobohan tersebut bermula. Sekruang-kurangnya 37 orang terbunuh dan 50 orang cedera, menurutnya.
Sekitar 48,000 warga Ukraine sudah dipindahkan menerusi koridor kemanusiaan, menurut agensi berita Ukraine Interfax pada Rabu, memetik penolong kanan Presiden Volodymyr Zelenskiyy.
Para pegawai tempatan berkata meskipun sebahagian penduduk sudah berpindah ke lokasi tertentu, pasukan-pasukan Rusia menghalang bas-bas daripada membawa keluar orang awam daripada Bucha, iaitu sebuah bandar berdekatan Kyiv.
Jawatankuasa Antarabangsa Persatuan Palang Merah (ICRC) menyatakan rumah-rumah kini sudah menjadi runtuhan di merata Ukraine.
“Ratusan ribu orang tiada makanan, tiada air, tiada alat pemanas, tiada tenaga elektrik dan tiada jagaan kesihatan.”
Ribuan orang terus membanjiri negara-negara jiran. Setelah bersembunyi di besmen untuk berlindung daripada pengeboman Rusia, Irina Mihalenka meninggalkan tempat tinggalnya di timur laut pelabuhan Laut Hitam,Odessa, beliau memberitahu Reuters.
“Apabila kami berjalan, sebatang jambatan diletupkan. Apabila kami menyeberangi runtuhan-tersebut kerana tiada laluan lain untuk keluar, kelihatan mayat-mayat warga Rusia (tentera) di sana,” kata beliau.(rs)
Sumber:Rakyat Sultra